Wednesday, 14 November 2012

Kem Solat 2012 - SJKC Kai Chee


SJKC Kai Chee terletak di Sungai Dua, Butterworth, mempunyai  seramai lebih daripada 600  orang murid termasuk 25 orang murid Islam. Mengajar di sekolah ini memberi saya pengalaman yang menarik dengan iklim yang begitu berbeza berbanding di sekolah kebangsaan. Setelah berkhidmat lebih kurang 13 tahun di SK Bukit Gambir, Gelugor, Georgetown, saya telah di tempatkan di SJKC Kai Chee pada 2011 sebagai guru Pendidikan Islam.

SJKC Kai Chee mempunyai lebih kurang 38 orang guru yang kebanyakannya berbangsa Cina. Hanya terdapat 4 orang guru berbangsa Melayu yang mengajar Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam termasuk seorang guru j-QAF yang baru ditempatkan di sekolah ini untuk menjalani latihan. Al-Hamdulillah, semua guru,kakitangan dan pihak pentadbiran telah memberi kerjasama yang baik  dan layanan yang mesra sepanjang saya berada di sekolah ini.

Murid-murid Islam di sini begitu berminat dengan pelajaran Pendidikan Islam, walaupun pada tahun pertama saya mengajar di sini, terasa begitu mencabar kerana kebanyakan murid Islam tidak menguasai asas membaca Al-Quran dan Jawi. Malah semua murid perempuan Islam tidak memakai tudung.Kalau pakai pun, hanya ketika berada di dalam kelas agama sahaja. Keluar saja dari pintu kelas terus ditariknya tudung dan di simpan di dalam beg. Tetapi sekarang, saya sangat bersyukur kerana semua murid Islam perempuan kecuali murid tahun satu telah memakai tudung sepanjang mereka berada di sekolah.

Semoga Allah memberi saya kekuatan dan memudahkan urusan saya dalam melaksanakan amanah mendidik anak bangsa tidak kira di mana saja saya berada. Saya selalu berpegang dengan kata-kata 'Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'. 





No comments:

Post a Comment