Saturday, 20 October 2012

SOLAT BERJAMAAH

Pengertian

Solat berjamaah ialah solat yang dilakukan dua orang atau lebih secara bersama dengan diketuai oleh seorang imam dan disertai dengan niat berjamaah.
 
 HUKUM SOLAT BERJAMAAH
Solat berjamaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:

  1. Fardhu ain pada solat Jumaat
  2. Fardhu kifayah pada solat fardhu lima waktu ke atas orang lelaki di sesuatu tempat
  3. Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
 
TUNTUTAN BERJAMAAH PADA SOLAT FARDU

Tuntutan berjamaah pada solat fardu lima waktu yang selain daripada solat fardu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat berjamaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir solat berjamaah. Tetapi sekiranya tiada sesiapapun yang menunaikan solat secara berjamaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.


LAFAZ NIAT SOLAT ZUHUR BERJAMAAH
Niat imam:
Maksudnya, “Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat tunai imam kerana Allah Taala.”

Niat makmum:
Maksudnya, “Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat tunai mengikut imam kerana Allah Taala”.


 SYARAT-SYARAT SAH SOLAT BERJAMAAH:

1.      Niat mengikut imam bagi makmum

2.      Takbiratul ihram makmum tidak mendahului takbiratul ihram imam

3.      Makmum tidak mendahului dan tidak terlalu lambat mengikut pergerakan imam

4.      Makmum mengetahui pergerakan imam

5.      Tiada sekatan atau penghalang antara makmum dan imam.

 MAKMUM MUWAFIK

Makmum muwafik bermaksud seseorang makmum yang berjamaah dengan imam, sempat bersama imam dalam kadar membolehkan dia menghabiskan bacaan al-Fatihah dengan kadar bacaan yang sederhana menurut uruf orang ramai (jemaah). Kadar sederhana ini tidak boleh diukur dengan kadar bacaan makmum (yang mungkin terlalu cepat atau terlalu lambat) atau bacaan imam semata-mata. Kadar kesederhanaan bacaan tersebut adalah ketentuan uruf jemaah solat.

Makmum muwafik dimaafkan tertinggal mengikut imam dengan kadar 3 rukun solat yang panjang, seperti rukuk dan sujud. Yang dimaksudkan dengan rukun yang pendek pula termasuklah ‘itidal, duduk sebelum bangun untuk qiam, duduk tahiyat awal dan duduk diantara dua sujud.

Makmum muwafik yang dimaafkan adalah kepada mereka yang secara semulajadi membacanya dengan lambat dan bukan di akibatkan oleh was-was. Bagi mereka yang tertinggal ruku’ bersama imam kerana was-was, dia di maafkan sekadar sebelum imam turun untuk sujud (iaitu dengan kadar ruku’ dan ‘itidal).


 
MAKMUM MASBUK

Makmum masbuk pula adalah makmum yang tidak sempat membaca surah Al-Fatihah bersama imam dalam rakaat pertama dan tidak dikira rakaatnya. Makmum masbuk hendaklah bertakbiratul ihram, kemudian terus rukuk atau sujud bersama imam. Jika mereka sempat rukuk dan tamakninah bersama imam, mereka dikira mendapat rakaat bersama imam dan tidak perlu diganti rakaat tersebut. Jika tidak sempat rukuk dan tamakninah bersama imam, mereka dikira tidak mendapat rakaat tersebut bersama imam. Mereka hendaklah menggantikan rakaat tersebut selepas imam memberi salam.

 Sekiranya  makmum masbuk masuk berjemaah ketika imam sedang bertasyahud akhir, mereka hendaklah terus duduk mengikut imam selepas takbiratul ihram. Jika tidak sempat tamakninah bersama imam, mereka dikira berjemaah tetapi semua bilangan rakaat dalam solat itu hendaklah diganti.


FAEDAH MELAKUKAN SOLAT FARDU SECARA BERJAMAAH

1.      Mendapat pahala 27 kali ganda berbanding solat bersendirian

2.      Dapat mengukuhkan persaudaraan sesama umat Islam

3.      Membantu menambah khusyuk dalam solat

4.      Hidup diberkati Allah

5.      Berpeluang menambah ilmu

 
 
TAHUKAH ANDA? 

Kelebihan solat berjamaah dari sudut sains

Profesor fizik di Amerika Syarikat (AS) telah membuat satu kajian kelebihan solat berjamaah yang disyariatkan dalam Islam. Berdasarkan kajiannya, tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik, iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita, sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan. Ketika solat berjamaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan yang dianjurkan ketika solat berjamaah itu mempunyai pelbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jamaah lain yang berada di kiri dan di kanan kita, akan menstabilkan kembali cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan, sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam tubuh kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Ini yang menyebabkan orang yang bersolat jamaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang. Kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjamaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang melakukan solat secara bersendirian.


DALIL BERKAITAN SOLAT BERJAMAAH

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Solat berjamaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat”.
 (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barang siapa mengerjakan solat Isyak dengan berjamaah, maka dia seperti bangun tengah  malam(solat lail) dan barang siapa solat subuh dengan berjemaah, maka dia seperti solat malam seluruhnya.”
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Solat seseorang dengan berjamaah(pahalanya) melebihi solat di rumah atau di pasar dengan dua puluh lima ganda. Ini kerana, apabila dia telah berwuduk dan sempurnakan wuduknya, kemudian keluar menuju Masjid dengan semata-mata untuk solat, maka dia tidak akan melangkah satu langkah melainkan dihapuskan baginya satu kesalahan, kemudian apabila dia solat maka malaikat selalu mendoakannya, selama dia masih berada di tempat solatnya,(dengan mengucapkan), “Ya Allah berilah rahmat kepadanya, dan kasih sayangilah dia.” Dan kamu selalu dalam solat selama menanti solat.”
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Aku telah mengamati kaum muslimin; tidak seorang pun meninggalkan solat kecuali orang munafik yang telah diketahui kemunafikannya, atau orang sakit. Namun orang yang sakit akan berjalan di antara dua orang (dipapah) untuk melaksanakan solat”. Ibnu Mas’ud berkata: “Sesungguhnya Rasulullah saw mengajarkan kami sunah-sunah itu adalah solat di masjid yang diserukan azan di dalamnya.”
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Andaikan mereka tahu apa yang ada dalam kedua solat itu, nescaya mereka menghadirinya sekalipun dengan merangkak. Dan sesungguhnya rasanya aku hendak menyuruh (orang-orang ) mengerjakan solat kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami mereka, lalu aku berangkat bersama orang-orang dengan membawa kayu, kepada orang-orang yang tidak hadir untuk melaksanakan solat, kemudian aku bakar rumah mereka.”
(Hadith riwayat Muslim)

Allah SWT berfirman:

“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hariakhirat, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut(kepada sesiapa pun) selain kepada Allah. Maka merekalah orang-orang yang mendapatkan petunjuk.”
(Surah At-taubah:18)